suria

PAS Belum Pohon Permit Ceramah Setakat Ini: Polis

TEMERLOH: Selepas 24 jam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau bermula, PAS masih belum mengemukakan permohonan permit untuk mengadakan ceramah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Jamaludin Abdul Rahman, berkata selepas penamaan calon semalam, polis telah meluluskan 11 permit untuk Barisan Nasional (BN) mengadakan ceramah kempen pilihan raya kecil itu (PRK).

Bagaimanapun, katanya, PAS belum mengemukakan sebarang permohonan permit setakat ini.

Jamaludin, yang juga Ketua Pusat Media Polis PRK DUN Kerdau, memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa BN telah mengemukakan 10 permohonan permit untuk tujuan itu pada Ahad.

Mengenai indeks jenayah daerah Temerloh dalam tempoh 24 jam lalu, katanya tiada sebarang kejadian jenayah dilaporkan.

Katanya ia menunjukkan tanda positif dengan kehadiran penambahan anggota polis sempena pilihan raya kecil itu pada 6 Mac ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Syed Ibrahim Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.- BERNAMA

Artikel Lain