suria

KPWKM Fokus Tingkat Peranan Wanita Dalam Syarikat, GLC

KUALA LUMPUR: Selepas mencapai sasaran mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini mahu memastikan dasar sama dapat diperluas dalam sektor swasta dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pada masa ini bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam (Gred C dan ke atas) telahpun mencapai 32.3 peratus.

"Fokus KPWKM seterusnya ialah untuk memastikan pencapaian ini diperluaskan dalam sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan," katanya dalam kenyataan media di sini pada Ahad yang turut mengalu-alukan pelantikan Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim sebagai Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang baru.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai bersejarah kerana kini terdapat lima orang KSU wanita dalam perkhidmatan awam yang berjawatan JUSA, dan ini merupakan satu rekod dalam perkhidmatan awam negara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan pada Jumaat lepas mengumumkan pelantikan Nurmala, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha bagi kementerian sama.

Usaha meningkatkan bilangan wanita yang berkaliber memegang jawatan utama dalam perkhidmatan awam bermula pada 2004 apabila kerajaan bersetuju dengan cadangan kementerian itu berhubung dasar mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan. - BERNAMA

Artikel Lain