suria

Kerajaan Usaha Keluarkan Lima Pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berusaha membawa keluar lima pelajar Malaysia termasuk seorang wanita dari Tripoli, Libya setelah mereka mengubah fikiran untuk kembali ke tanah air.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudden Abdul Wahab berkata mereka yang sebelum itu mahu kekal berada di negara bergolak itu kerana mahu menamatkan peperiksaan pengajian masing-masing, membuat keputusan untuk kembali setelah dipujuk keluarga mereka.

"Mereka ini tidak mahu pulang sebelum ini semasa kami mengajak pulang, itu yang timbul masalah seperti ini. Namun, akhirnya mereka mengubah keputusan di saat-saat akhir setelah berjaya dipujuk keluarga mereka," katanya pada Sabtu.

Katanya pelajar itu hanya membuat keputusan selepas kerajaan mengeluarkan 130 rakyat Malaysia dari Tripoli menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sabtu.

Untuk itu, Mohamed Thajudden berkata pihaknya sedang mencari kaedah lain untuk membawa mereka keluar dari Tripoli dan bukannya menggunakan pesawat C-130.

"Kalau kita gunakan cara yang sama (menggunakan pesawat C-130) untuk mengeluarkan mereka, ia akan melibatkan kos banyak sedangkan jumlah mereka kecil," jelasnya.

Kumpulan pertama terdiri daripada 92 rakyat Malaysia yang dikeluarkan dari Libya dijangka tiba di tanah air pada 6.50 pagi Isnin manakala kumpulan kedua seramai 38 orang akan tiba pada 6.50 pagi keesokannya.

Libya bergolak sejak minggu lepas berikutan tunjuk perasaan rakyat negara itu yang mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan.-BERNAMA

Artikel Lain