suria

Demonstrasi Anjuran Hindraf Gagal Tiada Sambutan:Hishammuddin

IPOH: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cubaan Hindraf untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah novel Interlok di ibu negara ternyata gagal apabila ia tidak mendapat sambutan.

Beliau berkata usaha berkenaan yang dipercayai turut disokong pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk menyamakan perhimpunan anjuran Hindraf itu dengan peristiwa yang berlaku di Tunisia dan Mesir telah tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

"Usaha tersebut gagal kerana ia tidak mendapat sambutan selain jelas melanggar undang-undang serta hanya menyusahkan orang ramai," katanya ketika diminta mengulas tindakan polis menahan 109 orang termasuk lapan pemimpin kanan Hindraf dan Hak Asasi Manusia kerana demonstrasi haram di ibu negara, Ahad.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung serentak Cawangan-cawangan Umno Perak di sini, Ahad.

Beliau turut mengesahkan antara mereka yang ditahan ialah pemimpin Hindraf P.Uthayakumar.

Katanya, beliau masih menunggu laporan terperinci daripada Ketua Polis Negara berhubung insiden penangkapan berkenaan.

"Alhamdulillah, laporan yang saya terima pagi tadi (demonstrasi) tidaklah sebesar mana. Sejumlah besar orang yang berkumpul di Batu Caves, Selangor adalah untuk atur cara agama dan bukanlah untuk berdemonstrasi di jalanan.

"Saya difahamkan tidak ada perhimpunan (haram) di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Mungkin ada yang berhimpun di Batu Caves tetapi kita tak boleh sekatlah, mereka hendak bersembahyang," kata Hishammuddin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata mereka yang ditahan termasuk lapan wanita, serta dua pemberita media alternatif yang ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis.

Kesemua yang ditahan itu berumur antara 18 dan 66 tahun dan ditahan dalam tempoh 24 jam mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis kerana menyertai demonstrasi haram dan juga mengikut 45 (1) Akta Pertubuhan 1966.- BERNAMA

Artikel Lain