suria

Tanah Di Bako Yang Dibekukan Akan Ditarik Balik Segera

KUCHING: Kira-kira 1,200 hektar tanah di Bako, dekat sini, yang telah dibekukan lebih 30 tahun lepas mengikut Sekyen 47 Kanun Tanah Sarawak, akan ditarik balik dengan segera, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Taib, yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber berkata kawasan itu akan dibangunkan oleh sektor swasta dengan kerjasama pemilik tanah, mengikut pelan induk yang dirangka oleh kerajaan negeri.

"Semua tanah yang dibekukan di Bako akan saya tarik balik agar ia boleh dibangunkan mengikut pelan pembangunan kerajaan termasuk tapak perindustrian dan tempat kediaman, infrastruktur, rekreasi dan taman...Kita akan berikan pelan untuk anda bangunkan.

"Saya akan umumkannya (butir-butir mengenai pelan pembangunan di Bako) dalam masa terdekat" katanya semasa menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian Cina di sini malam Jumaat.

Mengikut Seksyen 47 Kanun Tanah Sarawak adalah satu notis awam yang menyatakan bahawa tanah mungkin diperlukan untuk tujuan awam. "Tujuan awam" boleh termasuk "perindustrian dan keperluan pembangunan infrastruktur untuk kebaikan umum rakyat". Ia bermakna pemilik tanah tidak boleh membangunkan tanah berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata kerajaan negeri akan hanya mengambil tanah yang diperlukan untuk tujuan dibangunkan bagi tapak perindustrian.

"Kerajaan mungkin memerlukan sesetengah tanah itu untuk tujuan perindustrian," kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Perindustrian negeri berkata terpulanglah kepada pemilik tanah sama ada untuk membangunkan tanah mereka.

"Pemilik tanah boleh membentuk syarikat mereka sendiri untuk membangunkan tanah mereka. Jadi, kita harap mereka akan membangunkannya mengikut pelan induk tersebut," kata beliau.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain