suria

Sektor Swata Diminta Lihat Potensi Produk UMS Untuk Dikomersialkan

KOTA KINABALU: Sektor swasta diminta melihat penghasilan inovasi dan produk oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun.

Katanya kerajaan membelanjakan peruntukan besar bagi membiayai penyelidikan dan hasil produk tersebut perlu dikomersialkan dan tidak semata-mata disimpan dalam galeri atau bilik stor sahaja.

Beliau menggesa sektor swasta supaya mewujudkan rakan perkongsian pintar dengan UMS agar produk hasil penyelidikan universiti berkenaan dapat dipasarkan dengan segera.

"Input dari sektor swasta mengenai inovasi dan produk keluaran UMS amat diperlukan," katanya pada majlis menghargai ahli akademik UMS dan penyampaian insentif kepada hasil penyelidikan universiti itu di sini, malam Sabtu.

Katanya ahli akademik dan penyelidik UMS diiktiraf antarabangsa kerana penghasilan inovasi dan produk berkualiti serta penerbitan jurnal.

Masidi berkata kumpulan penyelidik dari Sabah juga perlu mengambil kesempatan dengan menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan di Lembangan Maliau, Lembah Danau dan Ngarai Imbak di negeri itu.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, berkata universiti berkenaan akan menubuhkan Pusat Inovasi pada tahun ini bagi menggalak dan mengkomersialkan produk penyelidikan dan inovasi menerusi sistem rangkaian.

Katanya UMS telah menerima RM9.2 juta tahun lepas dari Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi lain bagi menjalankan 129 aktiviti penyelidikan.

Selain peruntukan kerajaan, universiti juga memperoleh pembiayaan bernilai hampir RM1 juta menerusi rakan perkongsian pintar dengan beberapa institusi antarabangsa dan agensi swasta, katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain