suria

Raja Muda Perlis Mahu Pelatih Puspen Kekalkan Kaedah Pemulihan

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu para pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) supaya mengekalkan kaedah pemulihan seperti yang dijalani di pusat itu selepas mereka dibebaskan.

Langkah itu, titah baginda akan membolehkan mereka membebaskan diri sepenuhnya daripada pengaruh dadah dan tidak mengulangi tabiat buruk itu.

Baginda bertitah tips dan nasihat penjagaan kesihatan yang relevan oleh pegawai kesihatan terutama daripada aspek diet pemakanan, kaedah melawan, pengambilan penambahan makanan dan vitamin akan mempercepatkan proses pemulihan.

"Laksanakan semua nasihat tersebut dan saya percaya saudara mampu mentransformasi diri menjadi insan yang lebih sihat dan bertenaga," titah baginda pada Program Titian Kasih Khas dan Penyerahan Watikah Pembebasan 11 Penghuni di Puspen Bukit Chabang, dekat sini,pada Sabtu. Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama ialah Ketua Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan Dadah merangkap bekas Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Raja Muda Perlis bertitah sokongan mapan dan berterusan keluarga amat diperlukan bagi membantu bekas penagih menghadapi masyarakat bagi meneruskan kehidupan mereka.

Sementara itu, Kamarudin yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata pelajar institusi pengajian tinggi sentiasa diingatkan tidak mendekati dadah seperti penggunaan pil khayal yang boleh menjejaskan otak.

"Jika pelajar terlibat dengan dadah, tiada peluang untuk mereka berpatah balik untuk meneruskan pengajian," katanya.

Kamarudin berkata berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 40 orang terlibat dalam penagihan dadah dalam sehari dan jumlah itu sentiasa meningkat.

Beliau berkata 46 peratus penagih telah pulih sepenuhnya dan lebih 50 peratus kembali ke tabiat lama mereka dan pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama mendorong penagih kembali menagih semula.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain