suria

Pengharaman Pukat Sorong Mungkin Dibatalkan

TAIPING: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbang cadangan mengeluarkan lesen kepada nelayan yang menjalankan operasi penangkapan ikan menggunakan pukat sorong, kata Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

Beliau berkata pengeluaran "lesen" perintis untuk tempoh tiga bulan telah diberikan kepada 154 orang nelayan pukat sorong dari kawasan Larut Matang dan Selama.

Katanya keputusan muktamad berhubung cadangan melesenkan pukat sorong itu akan dibuat selepas program percubaan dinilai.

"Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar telah bersetuju untuk memberi lesen kepada nelayan di sini yang telah mengusahakan pukat sorong berikutan rayuan dan perjumpaan beberapa wakil nelayan pada Januari lalu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Interaksi Jabatan bersama Nelayan Pukat Sorong Daerah Larut Matang dan Selama di Trong dekat sini pada Sabtu.

Pukat sorong diharamkan penggunaan mengikut Akta Perikanan 1985 sejak lebih 40 tahun lalu.

Ahamad Sabki berkata sepanjang tempoh percubaan itu, pasukan penyelidik jabatan akan menjalankan kajian tangkapan dan beberapa aspek lain yang berkaitan untuk dilaporkan kepada Menteri sebelum keputusan muktamad dibuat.

"Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Noh Omar pada Januari lalu, nelayan bersetuju dengan syarat yang ditetapkan termasuk beroperasi pada jarak 3 batu nautika dari pantai dan dipasang alat pengesan pergerakan bot," katanya.

Beliau berkata nelayan terbabit bagaimanapun telah membuat rayuan supaya jarak operasi itu dikurangkan kepada 1.5 batu nautika dari pantai dan perkara tersebut akan diberikan pertimbangan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain