suria

PAS Tandus Isu, Sengaja Wujudkan Dakwaan Tidak Berasas Di Kerdau - Adnan Yaakob

TEMERLOH: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pada Sabtu, kesal dengan dakwaan pihak pembangkang yang menuduh kerajaan negeri meminjam RM1.4 bilion daripada kerajaan pusat untuk projek yang membazir.

Adnan berkata sebahagian besar daripada peruntukan itu dibelanja untuk meningkatkan keupayaan bekalan air di negeri tersebut demi kesejahteraan rakyat.

"Kita tidak pernah membazir peruntukan kerajaan negeri atau pusat malah ia dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat di negeri ini," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini.

Beliau berkata pinjaman itu dibelanjakan untuk menaik taraf dan mengendalikan 52 loji bekalan air di Pahang selain melaksanakan projek perumahan untuk rakyat termiskin dan projek prasarana.

Adnan yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) berkata PAS sengaja membangkitkan perkara tersebut kerana parti itu ketandusan isu bagi meraih sokongan pengundi.

Beliau juga meminta wakil rakyat dari parti pembangkang menyemak bajet kerajaan negeri yang dibentangkan sebelum ini, bagi membuktikan dakwaan mereka itu sebenarnya tidak berasas.

"Kerajaan BN Pahang tidak sewenang-wenangnya membazirkan duit rakyat, kita gunakan secara baik," katanya.

Mengenai isu-isu setempat yang membabitkan permasalahan penduduk, pembangunan dan meningkatkan prasarana di kawasan berkenaan, Adnan berkata kesemua isu terbabit akan diselesaikan secepat mungkin.

"Mana-mana projek yang tidak membabitkan peruntukan besar akan diselesaikan, manakala projek-projek lain yang membabitkan dasar kita akan selesaikan kemudian," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN diwakili Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, 43.

Pengundian ditetapkan pada 6 Mac ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain