suria

PAS Hadapi Laluan Sukar Di Kerdau - Abdul Hadi

TEMERLOH: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti itu menghadapi laluan sukar bagi mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Jelasnya, walaupun mempertaruhkan calon terbaik di kalangan anak tempatan yang menepati permintaan pengundi, PAS masih mengharapkan 'kejutan' yang akan berpihak kepada parti itu nanti.

Menurut Abdul Hadi, perkiraan itu berdasarkan kefahaman yang lebih terbuka terutama di kalangan golongan muda termasuk di kawasan FELDA dan FELCRA.

"Hassanuddin merupakan calon pilihan kita yang terbaik, beliau mempunyai pendidikan tinggi serta mempunyai keluarga yang tinggal di kawasan DUN ini.

"InsyaAllah beliau mampu memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat di sini," katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini, Sabtu.

Selain itu Abdul Hadi sekali lagi mengulangi pendirian PAS untuk tidak menggunakan isu-isu peribadi sebagai bahan kempen pada pilihan raya kecil ini.

"PAS konsisten dan tidak akan menggunakan isu-isu peribadi calon di pihak lawan," katanya.

Pada pilihan raya kecil DUN Kerdau itu nanti, Hassanuddin ditentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu Naib Ketua Bahagian Umno Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Februari lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain