BN Kini Diterima Kembali Majoriti Pengundi - Ahmad Zahid - Semasa | mStar

BN Kini Diterima Kembali Majoriti Pengundi - Ahmad Zahid

JASIN: Barisan Nasional (BN) kini diterima kembali oleh majoriti pengundi berbanding sokongan kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum lepas kerana dasar-dasar BN yang kini lebih jelas difahami dan telus, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata suasana dahulu sewaktu pilihan raya umum lepas melihatkan sokongan kepada parti pembangkang kerana dakyah palsu dan manipulasi politik yang dilakukan tetapi suasana itu berubah kepada sokongan kepada BN sejak akhir-akhir ini.

"Saya melihat situasi menyokong kepada parti pemerintah Insya-Allah akan berterusan kerana pengundi berbalik kepada kebenaran (pada hari ini) berbanding hamburan kata-kata dan janji manis pembangkang yang telah tidak ditunaikan atau janji palsu mereka," katanya.

Beliau ditemui pemberita setelah selesai proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau di Dewan Politeknik Merlimau di sini, Sabtu.

Terdahulu, Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersama-sama pemimpin komponen BN lain termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Presiden MIC Datuk G.Palanivel mengiringi calon BN, Roslan Ahmad ke pusat penamaan tersebut.

Roslan, 44, akan ditentang oleh calon PAS Yuhaizad Abullah, 38, bagi kerusi DUN Merlimau yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Ahmad Zahid ketika ditanya isu nasional yang sama yang akan digunakan oleh pembangkang iaitu kenaikan harga barang dan firma perunding APCO Worldwide, berkata beliau percaya dua isu itu merupakan antara 'senarai panjang' yang akan digunakan sebagai bahan kempen.

"Saya rasa kita tak perlu terlalu defensif dalam menjawab isu itu kerana masyarakat di Merlimau tidak akan terpengaruh dengan isu yang diulangi berkali-kali itu," katanya sambil menambah yang penting adalah isu tempatan yang dihadapi dan akan ditangani oleh jentera BN pada pilihan raya kecil ini.

Palanivel pula berkata parti itu menyasarkan sokongan masyarakat India kepada BN pada pilihan raya kecil ini sekurang-kurangnya setanding dengan sokongan pada pilihan raya kecil di DUN Tenang, Johor.

"Saya difahamkan bahawa kira-kira 75 peratus pengundi India berpihak kepada BN di Tenang dan peratusan undi ini akan cuba dikekalkan di Merlimau," katanya.

Beliau berkata jentera parti MIC peringkat pusat termasuk sayap Wanita dan Pemuda telah mengenal pasti lebih 1,200 pengundi India di Merlimau daripada keseluruhan 1,567 pengundi dan tempoh kempen akan digunakan untuk melipatgandakan usaha meraih undi bagi BN.

Dua tumpuan utama MIC ialah di Merlimau Pasir dan Jasin Lalang yang masing-masing mempunyai 468 dan 365 pengundi kaum India, katanya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau yakin penduduk Merlimau akan memberi sokongan padu kepada calon BN.

"Masyarakat Cina dan India yang merupakan minoriti di sini juga beri sokongan yang baik. Walaupun tak seratus peratus tapi gambaran kemenangan yang cemerlang adalah dalam harapan kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pada majlis mengenang jasa Persatuan Bekas Polis Malaysia di Dewan Serbaguna Merlimau Timur di sini.

Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kekuatan jentera BN dapat memastikan kemenangan besar untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau selain menangkis setiap taktik kotor pembangkang. Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata parti itu telah menggerakkan jenteranya dari awal untuk memastikan kemenangan menjadi milik BN pada pilihan raya kecil itu.

"Kita telah kenal pasti pengundi di sini di kalangan ahli kita kira-kira 200 orang, kita juga adakan aktiviti datang rumah ke rumah untuk meninjau masalah rakyat dan meraih sokongan mereka," katanya.

Mengulas mengenai calon BN, beliau berkata daripada pemerhatian beliau, calon muda BN itu amat mesra dan tidak sombong dengan penduduk di kawasan Merlimau.

"Beliau jujur untuk berkhidmat demi rakyat di kawasan beliau, saya percaya beliau sendiri dapat menarik sokongan rakyat kepada BN," kata Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk M Kayveas berkata pada pilihan raya kecil ini sokongan kepada BN nampak begitu padu dan kerjasama antara anggota komponen BN begitu baik sekali. Beliau berkata BN boleh memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar daripada pilihan raya umum lepas dan berharap semua pemimpin BN boleh bekerja dengan lebih kuat untuk memastikan kemenangan BN.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin berkata kesungguhan terhadap pembaharuan dan kejayaan yang dibawa BN dalam mentadbir negara ini dapat membuktikan kepada rakyat agar memilih calon yang benar-benar layak berbanding pembangkang.

Sementara itu, pemilihan calon muda untuk bertanding dalam pilihan raya kecil merupakan antara tranformasi parti yang sedang dijalankan oleh BN, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim.

"Calon yang berusia muda bertanding semasa pilihan raya kecil seperti DUN Tenang, Kerdau dan Merlimau ini dapat memberi kelebihan dan 38 peratus pengundi muda di kawasan ini dapat menyumbang kepada sokongan disertai golongan dewasa yang tetap menyatakan sokongan mereka," katanya.

Pergerakan Puteri Umno pula telah menggerakkan jenteranya sejak sebulan lepas dengan mengadakan pelbagai program dan menjemput ikon wanita yang terkenal untuk memberi ceramah kesedaran mengenai kebaikan BN.

"Satu jawatankuasa khas juga ditubuhkan bagi mengenal pasti 869 daripada 1,110 pengundi muda wanita untuk keluar mengundi termasuk kira-kira 243 orang pengundi yang berada di luar Merlimau," kata Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohamad Yusoff.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata semangat yang begitu kuat yang ditunjukkan rakyat kepada BN di Merlimau menunjukkan keyakinan mereka kepada BN khususnya kepimpimpinan BN.

"Ini mesej yang amat jelas dan kita harap keyakinan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk undi khususnya dalam bentuk kemenangan dengan majoriti yang lebih besar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

BN Masuk Perangkap PAS - Tuan Ibrahim

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun