suria

97 Anggota PKR Bayan Baru Dan Tanjong Keluar Parti Sertai Kimma

GEORGE TOWN: Seramai 97 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Bayan Baru dan Tanjong di sini mengambil keputusan meninggalkan perjuangan mereka bersama parti itu selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR yang gagal membela nasib dan kebajikan rakyat.

Mohamed Ibrahim A. Siahoo, yang mewakili kumpulan itu berkata tindakan mereka keluar daripada PKR juga disebabkan kecewa dengan parti itu yang gagal menunaikan janji untuk membela nasib rakyat khususnya kaum India Muslim.

"Keputusan kami ini waras dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak, sebaliknya mula sedar tentang parti mana yang boleh membantu kami," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang untuk menganggotai Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kepada Presidennya, Datuk Syed Ibrahim Kader di sini, Sabtu.

Beliau berkata kumpulan mereka terdiri daripada pemimpin sayap Pemuda dan Wanita PKR kawasan berkenaan yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 72 tahun.

"Semua janji untuk membela nasib kaum India Muslim gagal ditunaikan parti berkenaan," katanya.

Kimma mempunyai 12,500 anggota di sekitar Pulau Pinang.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain