suria

Polis Tahan Tukang Masak Miliki Dadah Cuba Beri Rasuah

NIBONG TEBAL: Polis menahan seorang tukang masak yang cuba memberikan sogokan sebanyak RM5,000 kepada polis bagi mengelak ditangkap kerana memiliki dadah di sebuah restoran di Jalan Bukit Tambun di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan bersama 30 biji pil Eramin 5 kira-kira pukul 2.50 petang.

"Hasil risikan dan maklumat awam, kita menyerbu restoran berkenaan dan menemui dadah berkenaan bersama lelaki terbabit," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata semasa soal siasat dijalankan, lelaki terbabit berulang kali merayu kepada pegawai penyiasat agar kes itu diselesaikan dengan bayaran kerana dia perlu menghadiri majlis perkahwinan adiknya, bagaimanapun pegawai penyiasat menolak dan menasihatinya.

"Dalam masa sama, seorang wanita berusia 43 tahun yang mengaku majikan lelaki terbabit datang menemuinya dan dipercayai memberikan wang sebelum tukang masak berkenaan memberikan wang itu kepada pegawai penyiasat bagi melepaskannya," katanya.

Shafien berkata sebaik tukang masak itu menghulurkan wang sebanyak RM5,000, pegawai penyiasat berkenaan terus merampas wang dan menahannya kerana memberi rasuah sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes dadah itu.

"Tukang masak itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM) dan kesnya disiasat menurut Seksyen 17 (b) Akta SPRM," katanya.

Lelaki itu turut disiasat menurut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada perkembangan lain, Shafien berkata polis sedang mengesan dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah rumah pangsa di Taman Sungai Bakap Permai di sini, 14 Februari lepas.

"Siasatan mendapati dua lelaki berkenaan dikenali sebagai Ali dan Hanif, merupakan penyewa rumah pangsa itu dan rakan kepada mangsa yang ditemui mati dipercayai dibunuh," katanya.

Polis percaya kedua-dua lelaki itu masih berada di negeri ini.

Katanya orang ramai yang mengenali dua lelaki berkenaan atau mengetahui tentang kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga Bangladesh, Harinur Rashid, 42, yang dilaporkan diculik ditemui dalam keadaan berulat dan mulutnya tertutup di rumah pangsa itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain