suria

Polis Tahan Empat Remaja Bantu Kes Remaja Maut Dalam Pergaduhan

NIBONG TEBAL: Seorang remaja lelaki mati dalam pergaduhan dengan sekumpulan lima remaja lain di Lima Kongsi di sini, awal pagi Jumaat.

U. Yuhanthan, 21, yang cedera parah di dada, perut dan rusuk akibat dipukul dan ditikam, mati ketika dirawat di Hospital Sungai Bakap di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata kejadian pada pukul 1.50 pagi itu bermula apabila sekumpulan remaja lelaki menunggang motosikal membuat bising di hadapan Yuhanthan dan rakannya yang berehat di sebuah pondok berhampiran jalan raya.

"Semasa berlaku pergaduhan itu, rakan mangsa berjaya melarikan diri dan menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu, tetapi Yuhanthan yang tidak sempat melarikan diri, dipukul dan ditikam dengan senjata tajam," katanya.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, polis melancarkan operasi mencari dan mengesan mereka yang terlibat dan berjaya menahan empat lelaki berusia dalam lingkungan 20-an di sekitar Nibong Tebal di sini, lima jam selepas kejadian itu.

"Kami kini mengesan dua lagi rakan mereka bagi membantu siasatan kes itu dan hasil siasatan awal mendapati mereka yang terlibat dalam kejadian itu adalah penduduk kawasan yang sama dan mengenali antara satu sama lain," katanya.

Polis menganggap kejadian itu adalah kes terpencil dan tidak melibatkan perkauman, katanya yang meminta orang ramai tidak mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya menyerahkan kes itu kepada polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain