suria

Pesawat Khas Bawa Keluar Rakyat Malaysia Dari Tripoli

KUALA LUMPUR: Seramai 127 rakyat Malaysia yang terperangkap di Libya berjaya dikeluarkan dari negara itu dan diterbangkan melalui sebuah pesawat sewa khas yang mendarat di Tunis, Tunisia, kira-kira 11.30 pagi (waktu Malaysia), Jumaat.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pesawat Boeing 727 itu mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai di ibu kota Tunisia itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli (LTAT) dan pesawat itu juga turut membawa 59 rakyat pelbagai negara lain.

Katanya rancangan seterusnya adalah untuk membawa rakyat Malaysia ini dari Tunis melalui pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seterusnya diterbangkan ke Rome, Itali.

Dari Rome, mereka akan dibawa pulang ke Malaysia melalui pesawat MAS yang dijadualkan berlepas 1.30 tengahari (waktu Rome), hari ini.

"Kita sedang cuba dapatkan clearance daripada pihak berkuasa Tunisia untuk pesawat TUDM mendarat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini, Jumaat.

Keadaan Libya bergolak sejak seminggu lepas berikutan tunjuk perasaan rakyat negara itu yang mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan.

Mohamed Thajudeen berkata walaupun pesawat TUDM yang berlepas dari Rome itu telah diberi kebenaran untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari LTAT hari ini, tetapi apabila sampai dekat lapangan terbang, kebenaran untuk mendarat tidak diberikan, yang menurutnya mungkin disebabkan kesesakan trafik udara.

Selepas itu, pesawat sewa khas dari Tunisia pula dihantar untuk mengambil rakyat Malaysia tapi apabila hampir dekat dengan lapangan terbang, sekali lagi tidak diberi kebenaran mendarat kerana berlaku kesesakan trafik udara.

"Tetapi akhirnya pada lima pagi (waktu Malaysia) pesawat ini dibenar mendarat dan pada 7 pagi (waktu Malaysia) rakyat Malaysia dan yang lain yang menunggu di lapangan terbang menaiki pesawat untuk ke Tunis, walaupun kami dimaklumkan ia hanya berlepas kira-kira 10.30 pagi (waktu Malaysia)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain