suria

Orang Ramai Jangan Sertai Perhimpunan Ahad Ini - Saravanan

JASIN: Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perarakan yang dirancang oleh pertubuhan haram, Hindraf di ibu negara, Ahad ini.

Beliau berkata penganjuran perarakan itu tidak mendatangkan sebarang faedah.

Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, menyokong polis mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan itu memandangkan Hindraf adalah satu badan yang diharamkan oleh kerajaan.

"Perhimpunan seperti itu akan mengganggu ketenteraman orang ramai dan mereka harus menjadikan pelbagai protes yang dilakukan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab pada masa lalu sebagai pengajaran," katanya.

Saravanan mengulas rancangan kumpulan itu mengadakan perarakan dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga ke Jalan Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Polis turut memberikan amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai yang menyertai perhimpunan haram, yang permit untuk mengadakan tidak diluluskan atas sebab keselamatan dan boleh menggugat ketenteraman awam serta menyebabkan kesesakan lalu lintas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain