suria

Lima Ditahan, DVD Cetak Rompak Bernilai RM12,000 Dirampas

GEORGE TOWN: Polis menahan lima lelaki dan merampas 2,400 keping DVD cetak rompak bernilai RM12,000 dalam serbuan di tiga kompleks membeli-belah sekitar bandar ini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata seorang daripada mereka yang dipercayai pengedar, ditahan ketika cuba membakar DVD cetak rompak itu di hadapan pintu lif pusat membeli-belah Prangin Mall di sini apabila menyedari serbuan polis.

Beliau berkata serbuan di kawasan Bukit Jambul, Pulau Tikus dan Relau itu dibuat pada pukul 5.30 petang.

Empat daripada mereka yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20-an manakala lelaki yang disyaki pengedar itu berusia 50 tahun.

Sementara itu, Gan berkata polis menahan 18 pendatang tanpa izin berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an dalam Ops Rantau di dua lokasi di bandar ini pada pukul 12.30 pagi Jumaat.

Mereka yang ditahan ialah 10 rakyat Bangladesh, tujuh orang termasuk dua wanita rakyat Indonesia dan seorang wanita Myanmar, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain