suria

Kastam Rampas Rokok Kretek Dan Putih Bernilai Lebih RM200,000

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok kretek dan putih yang dianggarkan bernilai lebih RM204,000 dari sebuah negara jiran pada Selasa dan Rabu lepas.

Pengarah Kastam Selangor Datuk Azis Yacub berkata jumlah cukai keseluruhan atas barang dagangan itu dianggarkan lebih RM656,000.

Beliau berkata dalam rampasan pertama pada 22 Februari lepas, pegawai penguatkuasa KDRM menahan sebuah lori yang membawa muatan rokok kretek yang disyaki belum diluluskan kastam di Jalan Banting pada 11.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati lori itu sarat berisi 118 kotak besar melibatkan 185 kotak rokok kretek yang bernilai lebih RM158,000 dan cukai dianggarkan kira-kira RM505,000," katanya kepada pemberita di Pangkalan Kastam Marin di sini Jumaat.

Dalam serbuan kedua Rabu lepas pada 11 malam, sebuah bot laju KDRM yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan bot pancung dipercayai dari negara jiran dalam keadaan mencurigakan di tebing anak sungai di perairan antara Sungai Langat dengan Air Hitam, Selangor.

Azis berkata semasa menyedari bot pasukan itu cuba menghampiri bot pancung berkenaan, suspek melarikan diri menuju ke daratan setelah gagal meloloskan diri dari bot mereka yang tersangkut di tepi tebing anak sungai tersebut disebabkan keadaan air yang cetek.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot pancung yang ditinggalkan itu, pihak Kastam menemui 1,954 karton rokok kretek dan putih pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM45,538 dan cukai sebanyak RM151,583," katanya yang menambah kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Azis berkata meskipun tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua kes ini, namun pihaknya percaya telah berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok tak sah yang disyaki masuk dari negara jiran.

Beliau juga berkata negara kerugian hampir RM2 bilion setiap tahun akibat daripada kegiatan penyeludupan rokok tidak sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain