suria

Kanak-Kanak 12 Tahun Ditemui Mati Lemas Di Tasik Gombak

KUALA LUMPUR: Seorang murid lelaki Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 1 ditemui mati lemas di Taman Tasik Sri Gombak di sini, Jumaat.

Mayat Noorheiman Jamaluddin, 12, ditemui di tasik itu pada pukul 11.14 pagi selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang sejak petang semalam. Mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Seri Gombak selepas Zohor.

Menurut seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Siranesware, 19, beliau terlihat Noorheiman yang berpakaian sukan sedang bermain dengan seorang rakannya di tepi tasik itu pada kira-kira pukul 2.30 petang semasa hujan lebat dan arus air deras.

"Beberapa jam kemudian, saya ternampak kawannya berjalan-jalan di sekitar tasik. Saya tanya dia buat apa, mana kawannya seorang lagi tapi kanak-kanak itu tidak tahu. Saya juga menyuruhnya balik kerana hari sudah lewat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Jumaat.

Pelajar CQ Tech College itu berkata bagaimanapun, selepas kembali dari makan malam kira-kira pukul 9 malam, beliau dan dua rakannya singgah semula ke tasik untuk ambil angin dan terkejut apabila menemui beg sekolah dan kasut di tepi tasik itu.

Beliau kemudian menelefon polis untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

Bapa kanak-kanak itu Jamaluddin, 57, seorang peniaga, berkata beliau hanya menyedari anaknya hilang apabila menerima panggilan telefon daripada polis.

"Kami tidak membuat laporan polis kerana NoorHeiman biasanya akan pulang lewat kerana dia akan singgah di rumah kawan-kawannya sebelum pulang ke rumah," katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan.

Beliau berkata anak bongsu dari empat beradik itu sempat bersalam dengannya sebelum ke sekolah semalam, yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Jamaluddin berkata anaknya seorang yang peramah dan manja dengan keluarga terutama kakaknya yang sulung.

Ketua Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat, Japari Tajudin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada pukul 11.58 malam tadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain