suria

Hukuman Pemandu Kereta Sebabkan Kematian Pelajar Lelaki Kekal

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun atas seorang lelaki kerana kesalahan memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun pada 2006.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memutuskan sedemikian selepas menolak rayuan See Zheng Thiam, 26, dan turut mengekalkan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara.

Pada 19 Julai tahun lepas, Mahkamah Majistret Ampang menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh selepas didapati bersalah memandu kereta jenis Toyota RV4 nombor pendaftaran WAF 28 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Low Wen Jie di Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini, kira-kira 9 malam pada 17 Julai 2006.

See didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 dan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Tertuduh yang diwakili peguam Wong Siew Nam, tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin hadir bagi pihak responden, manakala peguam M.K.Thas yang bertindak selaku peguam pemerhati hadir bersama bapa dan adik mangsa.

Mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain