suria

Hujan Lebat Di Ibu Negara, Beberapa Jalan Dinaiki Air

KUALA LUMPUR: Hujan lebat di ibu negara petang ini menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air akibat air melimpah dari beberapa batang sungai antaranya Sungai Gombak dan Sungai Bonus.

Berikutan banjir kilat setinggi kira-kira 0.7 meter itu, banyak kenderaan ringan terperangkap di beberapa jalan-jalan utama di ibu negara.

Jurucakap Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata antara jalan yang terjejas ialah Jalan Tun Razak bermula di hadapan Pusat Rawatan Pusrawi menghala ke Cheras.

Ekoran itu, kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan tersebut namun kenderaan yang menghala ke arah Bulatan Pahang masih boleh dilalui di jalan tersebut.

Jalan-jalan lain yang dinaiki air ialah Jalan Ampang di hadapan Bangunan Risda dan Jalan Semarak.

Selain itu, katanya 13 buah rumah dimasuki air iaitu 12 buah rumah di Taman Sri Rampai dan sebuah lagi di Taman P.Ramlee, Setapak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata pihaknya menerima laporan air naik di Jalan Tun Razak dan telah menghantar tiga anggotanya untuk meninjau keadaan di sekitar Kampung Baru sebelum menghantar sebarang bantuan.

Jurucakap Trafik Kuala Lumpur pula berkata kesesakan berlaku di laluan seperti Jalan Ampang, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak kerana trafik bergerak perlahan.

Keadaan tersebut dijangka berlanjutan sehingga 8 malam ini.

Jurucakap Lebuhraya Smart berkata Terowong Smart sudah ditutup sejak 4.20 petang tadi ekoran air yang sudah melimpah.

Katanya lagi terowong ini dijangka akan dibuka dalam masa satu jam lagi selepas proses pengaliran air selesai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain