suria

Suruhanjaya Siasatan Tegur Pegawai Penyiasat Tidak Jalankan Tugas Dengan Teliti

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan hari ini menegur pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal kerana tidak menjalankan tugas dengan teliti ketika menjalankan siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock.

Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T.Selventhiranathan yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berpendapat kes kematian Teoh yang disiasat oleh Ahmad Nazri boleh diklasifikasikan sebagai kes yang penting dan luar biasa.

"Oleh itu, kes ini hendaklah diperhatikan dengan mendalam dan terperinci bukannya disiasat secara rambang," katanya pada prosiding siasatan bagi mengenal pasti punca kematian Teoh yang masuk hari kesembilan, Khamis.

Pendapatnya turut disokong oleh pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang mempersoalkan tugas Ahmad Nazri sebagai pegawai penyiasat kes itu.

"Apakah tugas kamu sebagai pegawai penyiasat dalam kes ini...adakah hanya membuka dan menutup kertas siasatan?" kata Hakim Foong.

Ahmad Nazri menjawab: "Saya hanya ada masa dalam tujuh hari bagi menyiapkan kertas siasatan (IP) untuk diserahkan kepada Mahkamah Koroner.

Selventhiranathan kemudiannya mencelah dengan berkata:"Masa tujuh hari tidak mencukupi untuk menyiapkan kertas siasatan yang lengkap dan terperinci...adakah kamu pernah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kamu perlukan masa yang lebih untuk menyiapkan kertas siasatan itu"? Ahmad Nazri memberitahu beliau tidak ingat.

Terdahulu, Ahmad Nazri semasa memberikan keterangannya berkata beliau tidak membuat siasatan terperinci bagi setiap laluan yang mempunyai "access card" ketika membuat membuat pemeriksaan di tingkat 14 dan 15, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.

Ketika ditanya Cheow Wee dari Majlis Peguam berhubung berapa tempat "access card" yang terdapat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 dan 15, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Ahmad Nazri berkata:

"Saya dapati di tingkat 14 hanya mempunyai enam point "access card" manakala di tingkat 15 pula hanya ada dua point sahaja tetapi tidak semua "access card" boleh digunakan".

Sementara itu, ketika disoal pegawai pengendali Amerjeet Singh, adakah beliau pernah membuat perbandingan nota tulisan cina yang ditemui dalam beg sandang milik Teoh, Ahmad Nazri memberitahu bahawa beliau cuba mendapatkan contoh tulisan tangan milik Teoh daripada teman serumah Teoh, namun tidak menjumpainya.

Ahmad Nazri turut memaklumkan hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak forensik yang diketuai DSP Shahrul Othman Mansor di koridor tingkat lima, bangunan Plaza Masalam pada petang semalam tidak menemui bahagian permukaan atau kepala jam milik Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain