suria

Polis Selangor Serbu Dua Premis Milik Sindiket Ah Long

SHAH ALAM: Polis Selangor menyerbu dua premis sindiket peminjam wang tidak berlesen atau 'Ah Long' dan merampas 367 keping kad pengeluaran wang (ATM) serta wang tunai berjumlah RM18,060 dalam dua operasi.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor dan polis percaya kedua-dua premis itu milik dua sindiket.

Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, pada serbuan Isnin lepas di sebuah rumah di Pelabuhan Klang dekat sini, sejumlah 293 kad ATM, 31 buku akaun simpanan, 32 kad pengenalan dan wang tunai berjumlah RM10,000 dirampas.

Sindiket ini dipercayai memberikan pinjaman antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan jumlah pinjaman keseluruhan dianggar RM600,000, katanya pada sidang media, di sini, Rabu.

Chong berkata pada 28 Januari lepas, pihaknya menyerbu sebuah premis 'Ah Long' di Klang dan merampas 74 keping kad ATM, 18 sampul surat mengandungi resit pengeluaran wang dan buku rekod butiran peminjam.

"Wang tunai RM8,060 juga dirampas dalam serbuan pertama itu," katanya.

Chong berkata kedua-dua sindiket 'Ah Long' itu menggunakan modus operandi yang sama iaitu memegang kad ATM peminjam bagi memudahkan mereka mengeluarkan duit dari akaun mangsa.

Katanya kedua-dua kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Peminjam Wang 1951 iaitu menjalankan perniagaan meminjamkan wang tanpa lesen yang sah.

Mengulas kes lain, Chong berkata pihaknya menahan dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai anggota sindiket penipuan loteri Sports Toto yang beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Seorang daripada lelaki itu ditangkap orang ramai di Bandar Baru Klang pada 14 Feb lepas dan diserahkan kepada polis yang kemudian membuat tangkapan kedua di sebuah rumah di Jalan Raja Laut pada Isnin lepas.

"Suspek kedua dipercayai ketua sindiket dan dia mempunyai taraf penduduk tetap," katanya.

Chong berkata polis turut merampas 230 keping tiket loteri asli, jarum, mata pisau cukur, penyepit, gunting, gam dan keputusan cabutan tiket loteri di rumah sewa suspek kedua.

Katanya sindiket itu menipu mangsa dengan mengubah tarikh pada tiket loteri bagi meyakinkan mangsa bahawa tiket berkenaan masih sah untuk tuntutan wang ganjaran.

Siasatan lanjut mendapati sindiket itu dianggotai empat warga Indonesia termasuk seorang wanita dan dipercayai telah memulakan kegiatan mereka sejak 2008.

Chong berkata sebanyak 26 kes dilaporkan pada tahun lepas dan tiga kes sehingga Januari tahun ini dengan nilai kerugian kira-kira RM280,538 dipercayai membabitkan sindiket terbabit. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain