suria

Perdana Menteri Pulang Ke Tanah Air Selepas Lawatan Rasmi Ke Turki

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selamat pulang ke tanah air selepas mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Turki bagi mengukuhkan hubungan dua hala.

Najib, yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba dengan pesawat khas kerajaan pada 4.30 petang di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Khamis.

Ketibaan beliau disambut oleh menteri-menteri Kabinet dan para pemimpin komponen Barisan Nasional.

Ia merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke Turki sejak beliau menjadi perdana menteri pada April 2009.

Ketika berada di Ankara, Najib mengadakan pertemuan peribadi dengan rakan sejawatan beliau, Recep Tayyip Erdogan, dan menyertai mesyuarat antara delegasi Malaysia dan Turki.

Antara perkara yang dicapai pada lawatan itu ialah Malaysia dan Turki bersetuju memansuhkan keperluan visa untuk membolehkan rakyat masing-masing membuat lawatan antara satu sama lain.

Najib turut melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), satu daripada dua lapangan terbang utama di Istanbul, bandar raya terbesar di negara itu.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memegang 20 peratus ekuiti dalam Istanbul Sabiha Gokcen International Airport Investment Development and Operation Inc.(ISG), syarikat yang mengendalikan operasi ISGIA.

Najib turut melawat FNSS Savunma Sistemleri A.S., sebuah kilang membuat kereta tempur perisai di Turki dan menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH)dengan FNSS Savunma Sistemleri A.S. untuk program bantuan teknikal, latihan dan pemindahan teknologi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain