suria

Penganggur Dihukum Mati Kerana Membunuh

KANGAR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Khamis, setelah didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 22 bulan pada 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Mohd Nizam Mohamad, 32, dari Kampung Binjal, Utan Aji dituduh membunuh Nur Azlina Abdullah antara pukul 9 pagi, 23 November, 2009 dan 12 tengah hari keesokannya di rumah No. 8H, Jalan Tok Dewa, Repoh dekat sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Zaki ketika menyampaikan keputusan itu berkata, dalam kenyataan tanpa bersumpah, tertuduh telah mengaku melakukan kesalahan itu dengan alasan ketika itu ia dipengaruhi dadah jenis syabu dan ini menunjukkan tertuduh memabukkan diri sendiri.

Katanya, mahkamah tidak mempunyai pilihan kecuali menjatuhi hukuman mati kerana kesalahan itu.

Tertuduh yang diwakili peguam Zuriah Meryani Othman kelihatan tenang semasa hukuman itu disampaikan. Mohd Nizam ditahan pada 27 November 2009 bersama-sama teman wanitanya yang juga ibu kanak-kanak itu selepas mangsa meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azman Abu Hassan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain