suria

Pemandu Teksi Disamun Oleh Penumpang

KUALA LUMPUR: Seorang penumpang teksi dirompak wang tunai RM15, dua telefon bimbit serta teksinya yang bernilai RM11,500 oleh penumpangnya dalam satu kejadian di Jinjang di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan berkata perompak itu yang menaiki teksi itu pada kira-kira 12.45 tengah hari tadi di perhentian teksi Sogo telah mengarahkan pemandu berumur 37 tahun membawanya ke Taman Sri Murni, Kepong.

Bagaimanapun, ketika sampai di Bulatan Batu Caves, suspek mengarahkan mangsa untuk memasuki Lebuhraya MRR2 dan mengarahkannya ke tapak pelupusan sampah, Jinjang.

"Suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang pemotong daging dan meletakkannya di leher pemandu teksi itu dan memintanya wang sebaik tiba di tapak pelupusan sampah itu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perompak itu kemudian meninggalkan pemandu teksi itu, yang tidak dicederakannya, di pusat pelupusan sampah itu sebelum melarikan diri dengan teksi itu.

Beliau berkata orang ramai yang melihat teksi jenis Proton Iswara berwarna merah putih dengan nombor pendaftaran HWB9866 diminta menghubungi polis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain