suria

Pemandu Lori Miliki Kanabis Dihukum Penjara 10 Tahun, 10 Sebatan

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori yang pada Khamis mengaku salah terhadap dua tuduhan pindaan memiliki dadah jenis kanabis, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Bagi tuduhan pertama iaitu memiliki 708 gram kanabis di rumah bernombor 28, Kampung Lak Lok, Jerteh, Besut pada pukul 4.30 pagi, 26 Mei tahun lalu, Ibrahim Daud, 45, dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan terhadap pertuduhan memiliki 143.7 gram kanabis pada masa dan di tempat yang sama.

Bagaimanapun, Ibrahim hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 26 Mei, 2010.

Ibrahim yang awalnya menghadapi pertuduhan mengedar kanabis itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, mengaku salah terhadap tuduhan pindaan memiliki dadah itu mengikut Seksyen 6 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Peguam Othman Bakar yang mewakili tertuduh semasa merayu hukuman ringan untuk anak guamnya itu berkata mahkamah perlu menimbangkan pengakuan salah tertuduh yang telah menjimatkan masa mahkamah.

Hakim Mohd Yazid bagaimanapun berkata mahkamah perlu mengambil kira beberapa faktor dalam menjatuhkan hukuman termasuk untuk memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan najis dadah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang@Mamat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain