suria

Mahkamah Tetapkan 4 April Untuk Pengurusan Kes Penyitaan Buku

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 4 April untuk pengurusan kes permohonan semakan kehakiman penulis dan penerbit buku "The March to Putrajaya - Malaysia's New Era Is At Hand" mencabar perintah menyita 33 salinan buku itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu di dalam kamar apabila kes itu disebut pada Khamis.

Pada 24 Januari, Yong Thye Chong, yang menulis buku itu menggunakan nama pena Kim Quek, dan penerbit, Oriengroup Sdn Bhd diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk membuat permohonan semakan kehakiman terhadap kes itu.

Peguamnya Aston Paiva memberitahu media bahawa hakim menetapkan tarikh pengurusan kes untuk kedua-dua pihak memfailkan semua dokumen dan afidavit bagi mendengar semakan kehakiman itu.

Pada 3 November tahun lepas, Yong, 72, dan Oriengroup memfailkan permohonan semakan kehakiman meminta membatalkan pengharaman buku itu.

Mereka juga menuntut satu deklarasi bahawa penyitaan 33 buku itu adalah batal dan tidak sah.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Asisten Supritendan (ASP) Zul Azhar Mokhtar, Ketua Inspektor Nahar Yamen, ASP Mohd Fahmi Daraman Shah dan kerajaan sebagai responden.

Yong dan Oriengroup berkata 33 salinan buku itu dirampas pada 19 Ogos tahun lepas - 20 di Kuantan, empat di Melaka, enam di Cheras dan tiga di Universiti Malaya, dan menteri mengharamkan buku itu pada 27 September tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain