suria

Mahkamah Bebaskan Tiga Lelaki Tuduhan Miliki Bahan Terbitan Haram

BALIK PULAU: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis melepas dan membebaskan tiga lelaki termasuk seorang pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) daripada tuduhan memiliki bahan penerbitan haram berkaitan pertubuhan Al-Arqam.

Hakim Syarie Zaini Abdul Rahim memerintahkan pensyarah USM Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, 42, Rosli Yusof, 61, dan Asmadi Sulaiman, 45, dilepas daripada tuduhan itu setelah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Bagaimanapun, seorang wanita Roslina Sulaiman, 42, diperintah membela diri atas tuduhan berkenaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata wujud kelemahan dalam siasatan terhadap ketiga-tiga lelaki itu atas dakwaan memiliki penerbitan haram itu.

Katanya elemen-elemen pemilikan seperti yang didakwa kepada tertuduh harus dibuktikan berdasarkan tiga keadaan di mana tertuduh mesti mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan atas barangan itu tetapi ia gagal dibuktikan dalam kes berkenaan.

Zaini berkata mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh Roslina membela diri kerana dia didapati mempunyai elemen-elemen pemilikan bahan penerbitan seperti yang didakwa itu.

Menurut pertuduhan, Roslina dan Rosli didakwa memiliki buku Zikir Agung, Ahmad Fauzi kerana memiliki disket mengandungi aktiviti kumpulan itu manakala Asmadi memiliki buku, potret dan sajak berkaitan pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka secara bersama pada 1 November 2007 pada 10.15 malam di sebuah rumah No 15, Lintang Sungai Ara 1, Taman Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 13(1)(a) kerana memiliki penerbitan agama yang diharamkan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pendakwa Syarie Mohammad Zulkhairi Aziz manakala semua tertuduh diwakili peguambela Rosdee Abdul Razak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain