suria

Kerajaan Harap Pasaran Minyak Global Kembali Stabil

BACHOK: Malaysia beharap pasaran minyak global kembali stabil dalam tempoh terdekat agar tempias kesannya tidak dirasai dengan ketara sehingga ke negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata masyarakat dunia juga berharap agar pergolakan politik yang berlaku di beberapa negara pengeluar minyak seperti Libya, segera berakhir.

"Harga komoditi bahan mentah itu begitu sensitif yang harganya boleh naik dan turun berdasarkan kepada beberapa petunjuk, seperti konflik.

"Jika apa yang berlaku di negara terbabit seperti Libya terus berterusan, keadaan pasaran komoditi itu akan menyebabkan kenaikan harga akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Mangsa Kebakaran Ladang Kampung Kuau Besar/Beoh, Jelawat di sini, Khamis.

Seramai 14 orang menerima bantuan itu dengan masing-masing menerima sebanyak RM3,000 seorang.

Berita terbaru dari Paris menyebut satu per empat daripada keseluruhan pengeluaran minyak Libya telah dihentikan ketika demonstrasi bantahan di negara itu berterusan mengakibatkan syarikat-syarikat minyak memberi amaran akan berlaku pemotongan pengeluaran bahan tenaga tersebut di negara pengeluar ketiga terbesar minyak di Afrika itu.

Syarikat minyak seperti Total, Repsol, Eni, BASF serta OMV dari Australia menyatakan mereka akan menurunkan atau menghentikan pengeluaran di Libya.

Kenyataan terbaharu itu menunjukkan peningkatan impak ke atas pengeluaran minyak dari Libya yang menghasilkan minyak berkualiti tinggi sebanyak 1.6 juta tong sehari atau 2.0 peratus daripada pengeluaran minyak dunia.

Mengulas perkara itu Awang Adek berkata masih terlalu awal untuk menyatakan Malaysia bakal menerima kesan terhadap apa yang berlaku di negara terbabit.

"Masih awal kesannya untuk dirasai oleh rakyat di sini (Malaysia) dan apa pun kita berharap konflik di Libya tidak berlanjutan kerana ia juga akan memberi imej yang tidak baik kepada seluruh negara Islam," katanya.

Dua hari lalu, kerajaan sedang mengkaji pelbagai opsyen untuk tidak menaikkan harga petrol dalam waktu terdekat ini walau pun beberapa negara telah menaikkannya dua kali dalam tempoh tiga bulan berikutan kenaikan ketara harga minyak dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kewangan sedang mencari opsyen lain bagi mengelakkan kenaikan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain