suria

Gempa: Seorang Rakyat Malaysia Dilapor Hilang Di Christchurch

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja wanita rakyat Malaysia dilapor hilang di Christchurch berikutan kejadian gempa bumi Selasa lepas dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Ketua bilik operasi Malaysia di Chirstchurch Ayauf Bachi berkata pihaknya menerima laporan kehilangan wanita berumur 30-an itu daripada rakan-rakanya pada hari kejadian.

Wanita yang berasal dari Sarawak itu bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar itu, dan keluarganya telah dihubungi bagi memaklumkan mengenai kehilangannya, katanya kepada Bernama ketika dihubungi untuk perkembangan terkini rakyat Malaysia di sana.

Beliau berkata Pasukan Pertahanan Awam New Zealand yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat mereka yang masih terperangkap dan hilang dalam malapetaka itu, telah dimaklumkan mengenai kehilangan wanita berkenaan.

Ayauf, yang juga Timbalan Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, berkata terdapat 636 rakyat Malaysia di Christchurch, termasuk 390 penuntut dan pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 40 penuntut dalam empat kumpulan pada Khamis untuk mengetahui bantuan yang perlu disalurkan.

Daripada empat kumpulan itu, tiga kumpulan datang sendiri ke bilik operasi yang ditempatkan di sebuah bangunan hotel di Christchurch, manakala pihaknya turut melawat satu lagi kumpulan yang mengandungi 12 penuntut yang rumah mereka rosak dan pada masa ini tidak dibenar memasukinya.

Ayauf berkata 12 penuntut terbabit kini menumpang dengan kawan-kawan dan usaha sedang dijalankan untuk memberi bantuan sewajarnya kepada mereka.

Angka kematian dalam gempa bumi bermagnitud 6.3 Selasa lepas meningkat kepada 98 orang, dengan 300 orang dilapor hilang.

Gempa itu yang paling teruk melanda New Zealand sejak gegaran bermagnitud 7.8 yang mengorbankan 256 orang di wilayah Hawke's Bay pada 1931.

Gegaran pada September tahun lepas bermagnitud 7.1 pula memusnahkan 100,000 rumah tetapi tiada yang terkorban.

New Zealand terletak pada "Gegelang Api Pasifik", satu kawasan seismik dan volkanik luas yang menganjur dari Chile ke Jepun di sebelahnya dan ke Indonesia di sebelah lagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain