suria

Gaduh Di UPM: Saifuddin Temui Dua Kumpulan Mahasiswa

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menemui dua kumpulan mahasiswa Universiti Putra Malaysia ekoran pergaduhan yang berlaku semalam berhubung pilihan raya kampus.

"Dalam kedua-dua pertemuan yang berasingan itu, saya menekankan pilihan raya kampus seharusnya dijadikan medan terbaik untuk memberikan pendidikan politik dan demokrasi kepada mahasiswa.

"Pendidikan politik dan demokrasi ini seharusnya merintis ke arah amalan demokrasi yang lebih matang di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Kekecohan itu berlaku apabila sekumpulan 200 pelajar proMahasiswa bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam memprotes tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) membatalkan kemenangan 11 calonnya.

Demonstrasi yang bertujuan meminta penjelasan daripada Timbalan Naib Canselor HEP UPM kemudian menjadi tidak terkawal, mengakibatkan pintu kaca untuk ke bangunan pentadbiran HEP itu pecah dirempuh dalam keadaan kelam-kabut dan berasak-asak.

Tiga kakitangan UPM termasuk dua pengawal keselamatannya cedera di tangan manakala beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan.

Saifuddin berkata kementerian bersikap berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan mahasiswa atau individu yang bertanding dalam pilihan raya kampus.

Namun, beliau menyifatkan sebagai tidak wajar alasan pihak universiti itu membatalkan kemenangan sekumpulan mahasiswa itu hanya kerana mereka berkempen secara kumpulan, tambahan pula, pembatalan itu dibuat tanpa memberi peluang pihak yang dibatalkan itu untuk membela diri.

Saifuddin beliau memuji kesediaan dan keterbukaan Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi untuk bertemu dan mendengar aduan kelompok mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu sehingga berjaya menyelesaikan isu itu dengan baik.

"Namun, saya kesal kerana terdapat juga sesuatu permintaan sekumpulan mahasiswa yang diinginkan daripada pegawai tertentu tidak dilayan sehingga menyebabkan insiden yang tidak diingini berlaku.

"Saya bukan menyokong permintaan mahasiswa itu, saya cuma kesal ia tidak dilayan. Saya juga kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan mahasiswa yang menyebabkan kerosakan harta benda awam.

"Pun begitu, saya percaya jika permintaan kumpulan tersebut dilayan, maka insiden tersebut mungkin tidak akan berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain