Bekas Setiausaha NUBE Dipenjara 10 Tahun Pecah Amanah RM8.85 Juta - Semasa | mStar

Bekas Setiausaha NUBE Dipenjara 10 Tahun Pecah Amanah RM8.85 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), K. Shanmugam, hari ini dihukum penjara 10 tahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah RM8.85 juta milik kesatuan berhubung pembelian saham.

Hakim Azizah Mahamud membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan, yang diwakili peguam R. Shankar, gagal membuktikan terdapat keraguan munasabah terhadap kes itu.

Beliau mengarahkan Shanmugam, 63, menjalani hukuman itu bermula hari ini, dan sekiranya gagal menjelaskan denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan.

Shanmugam, bapa kepada empat orang anak itu, bernasib baik tidak dikenakan hukuman sebatan kerana faktor umur.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

"Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan itu tetapi dengan syarat tambahan iaitu wang jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh ditambah daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan seorang penjamin, selain pasport turut ditahan sehingga kes selesai," kata hakim Azizah.

Bagaimanapun mahkamah mengarahkan tertuduh membayar denda itu pada hari ini.

Azizah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read, berjaya membuktikan elemen kedudukan tertuduh sebagai setiausaha kesatuan itu bagi melakukan jenayah itu.

"Dan perkara ini (jawatannya ketika itu) diakui oleh tertuduh sendiri dan juga saksi-saksi pembelaan," katanya.

Hakim Azizah juga berkata, keterangan saksi pihak pendakwaan turut membuktikan elemen bahawa tertuduh sememangnya diamanahkan wang itu oleh kesatuan.

Selain itu katanya, Shanmugam gagal mengemukakan laporan berhubung pembelian saham itu pada mesyuarat kesatuan antara 1 Jun 1996 dan 31 Disember 1996.

"Mahkamah juga mendapati keterangan saksi pembelaan yang dikemukakan ketika perbicaraan tidak boleh diterima kerana tidak berada dalam mesyuarat yang dijalankan itu," katanya.

Terdahulu Shankar, ketika memohon agar anak guamannya dikenakan hukuman yang ringan, berkata Shanmugam menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Mengikut pertuduhan, Shanmugam didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah terhadap dana itu dengan menjalankan pembelian saham secara kontra yang bertentangan dengan cara yang ditetapkan untuk melaksanakan amanah tersebut seperti yang terkandung dalam resolusi NUBE bertarikh 21 Oktober 1994.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank, Bangunan Nube, Jalan Tunku Abdul Rahman pada Mac 1996. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain