suria

Banjir: 40 Terperangkap Di Kolej Multimedia Jalan Gurney

KUALA LUMPUR: Seramai 40 orang, termasuk 16 kanak-kanak, terperangkap hampir 15 minit di kawasan Kolej Multimedia di Jalan Gurney Kiri di sini apabila dinaiki air sedalam tiga meter petang ini berikutan hujan lebat.

Ketua Balai Bomba Jelatek Isa Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.18 petang tadi seramai 23 wanita dan seorang lelaki, yang merupakan pelajar di pusat latihan dua tingkat itu terperangkap di tingkat satu bangunan berkenaan.

"Manakala seramai 16 kanak-kanak berumur antara 16 bulan hingga empat tahun pula terperangkap di sebuah pusat asuhan berhampiran bangunan tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata kesemua mereka telah dapat dikeluarkan oleh 25 anggota dari Balai Bomba Jelatek, Chow Kit dan Jinjang.

Beliau juga berkata 50 buah kereta di kawasan sekitar bangunan itu turut ditenggelami air. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain