suria

Syed Ibrahim Calon Terbaik BN Di Kerdau

TEMERLOH: Syed Ibrahim Syed Ahmad bukanlah nama asing di Kerdau.

Pemilihannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau telah dijangka.

Syed Ibrahim, 44, yang lebih dikenali sebagai "Syed Ibra" di kalangan penduduk tempatan sebenarnya telah banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan berkenaan ketika wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim sakit.

Syed Ibrahim telah dilantik sebagai wakil kepada wakil rakyat Kerdau oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika Zaharuddin sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dan Institut Jantung Negara pada Mei dan November tahun lepas.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddn Yassin ketika mengumumkan calon B Nitu semalam turut menyifatkan Syed Ibrahim sebagai calon terbaik BN untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Syed Ibrahim, merupakan anak kelahiran tempatan, yang lahir di Kampung Kuala Tekal pada tanggal 18 Januari 1967.

Lulusan Universiti Al-Azhar (Fakulti Bahasa Arab), Syed Ibrahim, yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau merupakan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang sejak 2001.

Beliau berkahwin dengan seorang guru agama, Sharifah Farunai Syed Ahmad, 45, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu As Sayed Muhammad Al-Baqir, 15, As-Syarifah Balqis, 13, dan As Syarifah Sehah, 9.

Selain aktif dalam politik, beliau merupakan seorang penceramah agama dan motivasi kepada para pelajar sekolah dan pernah menjadi guru Bahasa Arab dan Agama di Sekolah Menengah Agama Darul Naim di sini pada tahun 1997 hingga 2000.

Syed Ibrahim ketika ditemui semalam berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik jika dipilih para pengundi pada pilihan raya kecil kawasan itu nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Zaharuddin pada 12 Februari lepas.

"Saya berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik dan bekerja kuat untuk membela nasib rakyat Kerdau," kata Syed Ibrahim.

Beliau berkata pencalonannya sebagai calon BN yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri semalam merupakan satu amanat dan tanggungjawab besar yang mesti digalas sebaik mungkin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memilihnya dan tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan untuk berkhidmat di kawasan berkenaan. "Saya dengan rendah hati menerima pencalonan ini dan saya akan memastikan nasib rakyat dibela," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain