suria

Suspek Samun Isnin Lepas Direman Sehingga 2 Mac Ini

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Indonesia, yang cedera parah selepas terjatuh ke dalam longkang akibat dilanggar kereta mangsa disamunnya dalam kejadian Isnin lepas, direman tujuh hari sehingga 2 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, perintah reman diperoleh selepas majistret hadir ke Hospital Ampang tempat suspek berumur 28 tahun itu dirawat kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

"Suspek yang cedera di tangan serta patah kaki kanan masih berada di dalam wad," katanya kepada Bernama melalui sistem pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek, yang bekerja sebagai buruh di ibu negara, mempunyai dokumen sah dan telah berada di negara ini hampir setahun.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis kini dalam proses mengambil kenyataannya sebelum sebarang dakwaan dibuat," katanya.

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, seorang rakan suspek maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan kereta wanita yang dilapor menjadi mangsa ragut mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain