suria

Suruhanjaya Tinggi Cari Rakyat M'sia Yang Tidak Mendaftar Di Christchurch

KUALA LUMPUR: Bilik operasi yang dikendalikan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand bersama Jabatan Penuntut Malaysia (MSD), telah dibuka di Christchurch bagi mengumpulkan maklumat mengenai rakyat Malaysia di bandar raya yang dilanda gempa bumi itu.

Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Ayuni Zainal Abidin berkata, petugas suruhanjaya itu akan bertemu dengan pihak berkuasa tempatan esok untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan di Christchurch termasuk sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian gempa itu.

"Buat masa kini polis di sini tidak mahu keluarkan apa-apa maklumat...esok kita akan mendapatkan gambaran lebih jelas," katanya kepada Bernama hari ini.

Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda Christchurch pada 12.51 tengah hari waktu tempatan semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 65 orang dilaporkan terbunuh serta ramai terperangkap dalam bangunan yang runtuh selain bekalan elektrik terputus.

Nur Ayuni berkata petugas suruhanjaya itu sedang mengemas kini data rakyat Malaysia di New Zealand, khususnya yang berada di Christchurch, bagi membolehkan jumlah sebenar rakyat Malaysia di bandar yang baru ditimpa bencana itu dikenal pasti.

"Sekarang kita sedang kesan berapa ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang berada di sini tetapi tidak mendaftar dengan kita, sama ada mereka sudah lama duduk di sini atau sedang melancong di sini," katanya.

Berdasarkan rekod, hanya 172 warga Malaysia berdaftar dengan suruhanjaya itu selain 390 pelajar yang dikenal pasti berdasarkan rekod MSD.

Kesemua mereka yang berdaftar itu dilaporkan selamat.

Nur Ayuni berkata gangguan sistem komunikasi serta bekalan sumber makanan dan air merupakan cabaran dan kebimbangan utama di Christchurch kerana kebanyakan kedai sama ada musnah atau ditutup ekoran kejadian gempa bumi itu.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat pihak berkuasa tempatan, katanya, kedai-kedai barangan keperluan dijangka dapat beroperasi semula esok.

"Petugas kita akan melihat apa keperluan mereka. Tetapi sebelum kita sampai pun, di kalangan pelajar di sini sudah mengaturkan misi menyelamat dan membeli makanan seperti roti dan tuna untuk keperluan mereka," katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi bilik operasi di Christchurch bertempat di Riccarton Village Inn, 106 Mandeville Street, Riccarton 8011, New Zealand atau hubungi Nur Ayuni Zainal Abidin (021 021 55266), Lt. Kol Ahmad Faiezzelan Abd Karim (021 857 467), Dzulkefly Mustapha (021 102 2642) atau Nor Ruzaini Jailani (021 322 708). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain