suria

Roslan Calon BN Merlimau

JASIN: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

MERLIMAU: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Pengurus Perbadanan Melaka Holdings (PMH) itu pada majlis pengumuman calom BN di sini Rabu.

Roslan merupakan pemimpin muda yang tidak asing di kawasan ini.

Beliau merupakan anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin penggal 1974.

Bapa saudara Roslan pula adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin (1997-1999).

Lulusan Diploma Pentadbiran Perniagaan dari Institut Teknologi Tun Abdul Razak berkahwin dengan Zanifah Umar dan dikurniakan empat cahaya mata berusia antara empat hingga 11 tahun.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac serentak dengan Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, Pahang jika ada pertandingan.

Sementara itu, Muhyiddin pada sidang akhbar selepas majlis itu berkata, Roslan merupakan calon pilihan paling tepat selepas pucuk pimpinan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil kira latar belakang beliau.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan, pengalaman Roslan dalam bidang pentadbiran dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan merupakan antara faktor pemilihannya.

Ditanya sama ada Roslan dipilih berdasarkan nama bapa dan bapa saudaranya, Muhyiddin menjelaskan, faktor personaliti menjadi keutamaan dalam menentukan calon BN pada pilihan raya kecil kali ini.

"Saya tidak nafikan faktor itu, tetapi ia hanya sampingan. Yang kita pentingkan ialah peribadi dan keupayaan Roslan sendiri yang akan membawa kemenangan untuk BN," ujar beliau.

Artikel Berikut

Artikel Lain