suria

Pemilihan Syed Ibrahim Dapat Reaksi Positif

TEMERLOH: Pemilihan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, untuk mewakili Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau mendapat reaksi positif.

Dalam tinjauan rambang Bernama, beberapa penduduk dan pengundi menyifatkan pemilihan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang itu sebagai keputusan terbaik memandangkan beliau bukanlah nama asing bagi penduduk kawasan berkenaan.

Syed Ibrahim, 44, sebenarnya sudahpun terkenal dalam kalangan penduduk kawasan berkenaan kerana sering kali memberikan ceramah agama dan motivasi kepada penduduk setempat dan pelajar sekolah, kata penduduk Felda Jengka 22, Hazimah Azhar, 50.

"Beliau mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang diharapkan oleh pengundi di kawasan ini," katanya merujuk kepada Syed Ibrahim yang pemilihannya diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 6 Mac. Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN 12 Feb lepas akibat serangan jantung.

Seorang pengundi Ali Yaakob, 68, dari Felda Jengka 23, berkata pemilihan Syed Ibrahim dilihat amat tepat kerana beliau sangat popular dalam kalangan masyarakat peneroka Felda di Wilayah Jengka kerana sering mengadakan ceramah agama di masjid-masjid di Kerdau sekaligus memperlihatkan beliau seorang yang berkualiti sebagai pemimpin akar umbi.

Rashid Ali, tok batin Orang Asli Kampung Paya Sendayan, satu-satunya perkampungan Orang Asli dalam kawasan Kerdau, berkata penduduk dan pengundi Orang Asli akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Syed Ibrahim kerana yakin beliau akan dapat membela nasib mereka.

Timbalan Ketua Umno cawangan Kerdau, Abdul Rahman Abdul Rashid, turut bersyukur kerana pucuk pimpinan memilih Syed Ibrahim kerana beliau adalah yang paling layak untuk bertanding sebagai calon BN di Kerdau. "Faktor calon memainkan peranan, Syed Ibrahim adalah calon yang berwibawa untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini," katanya.

Pengerusi MIC Cawangan Kerdau M. Sosai pula berkata, pengundi India tidak mempunyai masalah untuk memberikan sokongan padu kepada Syed Ibrahim walaupun beliau berkelulusan agama.

"Yang penting dia boleh menang dan berkhidmat untuk rakyat," katanya. Ketua MCA Bandar Kerdau, Ah Chok, 62, berkata beliau yakin 456 pengundi Cina di Kerdau akan menyokong sepenuhnya calon BN. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain