suria

Mekanik Terkejut Kereta Dijual Belum Ditukar Nama

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik terkejut apabila menerima notis daripada polis yang menyatakan kenderaan miliknya, yang dijual kepada seorang lelaki sejak empat tahun lepas, masih tidak ditukar nama.

Semuanya terbongkar apabila kereta itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Selayang pada 9 Februari lepas dan polis mengesan nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

Mangsa, Yew Weng Kwong, 55, berkata kereta Toyota Vios 1.5cc hitam bernombor pendaftaran WPR 5223 itu dijual kepada seorang lelaki pada November 2007 dan dia menerima RM1,000 daripada pembeli bagi proses penukaran nama kereta itu.

"Lelaki itu juga berjanji untuk meneruskan pembayaran ansuran kereta kepada pihak bank, tetapi apabila saya memeriksa dengan bank, tiada pembayaran dibuat," katanya selepas membuat aduan di Biro Aduan Awam MCA di sini, Rabu.

Katanya nombor pendaftaran baru yang digunakan, WPR 5233 seakan sama dengan nombor pendaftaran lama dipercayai bertujuan mengelirukan pihak berkuasa. Sementara itu, seorang warga emas yang menghidap Alzheimer, Ooi Ho Chuah,63, hilang sejak Khamis lepas setelah didapati keluar dari rumahnya di Kajang.

Anaknya, Ooi Ling Ling, 29, berkata ini merupakan kali ketiga ayahnya hilang sejak April tahun lepas.

Isteri Ho Chuah, Teh Sow Im, 56, telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang pada 18 Februari lepas mengenai kehilangan suaminya yang memakai baju-t berwarna coklat, seluar pendek warna kelabu, bercermin mata dan berambut pendek. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain