suria

Malaysia Dan Turki Mansuh Keperluan Visa

ANKARA: Malaysia dan Turki bersetuju memansuhkan keperluan visa untuk membolehkan rakyat masing-masing membuat lawatan antara satu sama lain.

Ini diumumkan pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan, selepas pertemuan empat mata mereka diikuti perbincangan peringkat delegasi di Pejabat Perdana Menteri Turki itu di sini pada Selasa.

"Ini adalah satu keputusan bersejarah dan penting yang pasti dapat meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara," kata Najib.

Beliau berkata rakyat Malaysia dan Turki mempunyai banyak persamaan.

"Malahan, ada antara kita berasal daripada keturunan yang sama dan kita perlu mendalami warisan yang kita ada ini kerana ia mampu menjadi asas yang kuat dalam mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat kita," katanya.

Erdogan pula mengumumkan bahawa Turki akan menganjurkan "Tahun Malaysia" tidak lama lagi bagi merapatkan hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara manakala Turkish Airlines akan mengadakan semula penerbangannya ke Kuala Lumpur.

Najib mengucapkan terima kasih kepada Erdogan berhubung persetujuan Turkish Airlnes mengadakan semula penerbangan terus ke Malaysia itu dan berkata : "Kita akan mengkaji kemungkinan mengadakan lebih banyak penerbangan antara Kuala Lumpur dan Turki."

Katanya beliau gembira kerana mendapat tahu bahawa lawatannya dinanti-nantikan di Turki memandangkan lawatan terakhir seumpamanya oleh seorang Perdana Menteri Malaysia adalah 28 tahun yang lepas, dan juga beliau gembira dapat memenuhi undangan Erdogan untuk membuat lawatan itu.

Najib menyifatkan perbincangannya dengan Erdogan dan rundingan di peringkat delegasi sebagai sangat mesra dan produktif yang akan meningkatkan hubungan dua hala ke arah mencapai satu tahap yang strategik.

"Untuk itu, kita sedang mengusahakan satu perjanjian untuk dimeterai menjelang akhir tahun ini," katanya.

Perdana Menteri berkata bahawa serentak dengan itu, Malaysia dan Turki bersetuju agar perjanjian perdagangan bebas (FTA) perlu juga ditandatangani.

Najib mengundang Erdogan melawat Malaysia penghujung tahun ini bagi menandatangani kedua-dua perjanjian itu yang akan membuka satu lembaran dan era baru dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Mengenai cadangan Erdogan agar jumlah dagangan Malaysia-Turki dipertingkatkan daripada US$2 bilion kepada US$5 bilion, Najib berkata angka US$5 bilion bukannya satu sasaran yang tidak boleh dicapai.

"Yang pasti ialah kita akan meningkatkan tahap perdagangan antara kedua-dua negara. Saya amat bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Erdogan," katanya.

Najib berkata antara bidang yang dikenal pasti ialah industri automobil dan industri minyak dan gas.

Mengenai tunjuk perasaan dan bantahan rakyat terhadap pemimpin di beberapa negara Islam, Najib berkata satu-satunya jalan bagi menjamin kestabilan dalam dunia Islam ialah mengamalkan tadbir urus yang baik berdasarkan prinsip demokrasi yang disesuaikan dengan keperluan dan keadaan tertentu sesebuah negara.

"Yang penting ialah kita mendengar suara rakyat dan berikan mereka ruang untuk meluahkan aspirasi dan harapan mereka," kata Perdana Menteri.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri dan Anggota Parlimen, tiba pada Isnin untuk lawatan tiga hari.

Pada hari terakhir lawatannya esok, beliau dijadual menghadiri Perbincangan Meja Bulat Perniagaan Malaysia-Turki dan berucap pada persidangan Kemuliaan Insan di Istanbul. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain