suria

Kepala Bayi Semakin Membesar, Keluarga Risau

BALING: Kepala seorang bayi perempuan berusia 13 bulan di Kampung Padang Kulim dekat sini dikatakan semakin membesar menyebabkan ibu bapanya mahukan rawatan segera untuk anak mereka agar keadaan tidak menjadi lebih parah apabila usia kanak-kanak tersebut meningkat.

Norbaizura Dol, 30, berkata kepala anaknya Nur Umairah Mohd Zaidi didapati besar sejak dilahirkan Januari tahun lalu dan kini berat kanak-kanak tersebut mencecah lebih 10 kilogram.

"Susah nak dukong dia, bila pi Hospital Sungai Petani (Hospital Sultan Abdul Halim) kami kena usung dia," katanya yang mempunyai dua lagi anak yang normal.

Bapa kanak-kanak tersebut seorang penoreh getah, Mohd Zaidi Abdul Rahman, 35, berkata beliau dan isterinya menyerahkan kepada mana-mana pihak untuk memulih anak mereka. Mereka boleh dihubungi di talian 012-4045076.

Pengerusi Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pendidikan Kedah (YPKPK), Zuraidi Rahim yang melawat keluarga tersebut berkata Nur Umairah memerlukan rawatan segera.

"Kami berharap dapat membantu bayi ini dan akan berusaha mendapatkan rawatan perubatan untuknya. Bayi ini bukan sahaja sakit malah akan terus menderita sekiranya tidak dirawat dengan sempurna," katanya.

Beliau berkata beliau akan menghubungi Hospital Baling dan Hospital Sultan Abdul Halim untuk membincangkan jenis rawatan lanjut termasuk pembedahan sekiranya perlu bagi memulihkan keadaan Nur Umairah.

YPKPK akan turut menghulurkan bantuan persekolahan kepada dua lagi anak pasangan tersebut yang berumur enam dan lapan tahun sebanyak RM1,000 setahun, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain