suria

UPP Kuala Kedah Rampas Kayu Gaharu Bernilai Lebih RM300,000

ALOR SETAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah merampas 422 kilogram kayu Karas (gaharu) bernilai RM337,600 di satu kawasan tempat letak kereta awam di Pekan Kuala Kedah dekat sini malam tadi.

Komander UPP Mohd Jasri Othman berkata pasukannya membuat pemerhatian di kawasan letak kereta berkenaan selepas menerima maklumat awam.

"Pasukan saya telah membuat intipan serta menunggu lebih dari 10 jam dan kemudian merampas lapan guni berisi kayu karas itu.

"Pasukan juga menghubungi Penguatkuasa Jabatan Hutan negeri untuk bantuan kepakaran dan didapati kayu ini gred B yang bernilai RM800 sekilogram," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Tiada tangkapan dibuat dan pihaknya percaya kayu berkenaan baru diturunkan daripada bot sebelum diletakkan di kawasan letak kereta itu, kata Mohd Jasri. Beliau berkata kayu yang digunakan untuk membuat minyak wangi dan setanggi itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui Langkawi yang dijadikan sebagai transit.

Pemilikan hasil hutan merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kes ini, ia akan disiasat mengikut Seksyen 76 (1) akta sama di mana apa-apa hasil hutan yang dijumpai hanyut, terdampar, tersangkut, tenggelam atau ditinggalkan atau bukan dalam pemilikan atau di bawah kawalan seseorang hendaklah dianggap harta pihak berkuasa negeri.

"Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya dan ia merupakan kes pertama bagi UPP Kedah bagi tahun ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain