suria

Produser Filem Tak Boleh Syok Sendiri

SESIAPA saja dalam dunia hari ini boleh buat filem. Untuk menjadi seorang produser, kerjanya tak susah mana. Kalau mereka ada duit, mereka boleh laburkan duit itu untuk menghasilkan filem.

Soal kualiti sesebuah filem tak perlulah diambil kira sebab filem-filem yang ada pada hari ini memang banyak yang tak ada kualiti. Tapi kebenarannya, sesuatu yang tak berkualiti itulah yang akan mendapat sambutan luar biasa.

Hari ini ramai sangat orang yang ada duit kemaruk untuk buat filem walaupun mereka tak tahu pun susur galur dan susah senang menjadi seorang pembikin filem.

Filem mempunyai nilai yang tinggi kerana ia boleh mempengaruhi jiwa penonton sama ada lucu, sedih, menyampah, patriotik dan sebagainya.

Niezam tertarik untuk mengulas isu filem pada minggu ini selepas melihat seorang produser tepuk dahi gara-gara filemnya tak laku.

Produser tersebut melabur hampir RM3 juta untuk buat filem tetapi selepas dua minggu tayangan, dia dapat kutip tak sampai RM1 juta pun.

Produser itu mengurut panjang dadanya. Bayangkan, dengan modal RM3 juta dia boleh buat rumah untuk orang miskin.

Tapi sayang, usah kata nak untung, balik modal pun tidak.

Niezam turut menonton filem tersebut. Pada dasarnya memang filem itu layak dicampak ke Sungai Klang. Tak ada kualiti langsung.

Penerbit filem David Teo juga kerap kali buat filem yang tak ada kualiti. Dia pernah buat filem yang modalnya tak sampai RM2 juta tapi kutipannya berlipat kali ganda.

Apa jadi kepada produser yang tanggung rugi itu kerana tak ada ilmu filem.

Seseorang yang tak ada langsung pengetahuan di bidang ini, memang itulah risiko yang terpaksa dia tanggung.

Produser filem yang selalunya buat filem kerana syok sendiri biasanya akan terjebak dengan kekecewaan seperti ini.

Sepanjang tahun lalu kira-kira 20 buah filem tempatan ditayangkan di pawagam. Pada tahun ini khabarnya terdapat 35 buah filem yang akan menemui penonton. Ia satu perkembangan yang baik.

Sayangnya ketika perkembangan itu berlaku, filem-filem yang dianggap tidak berkualiti dengan kos produksi tidak masuk akal masih lagi menjadi pilihan sesetengah produser kita.

Jangan anggap mereka ada duit, mereka boleh buat filem sesuka hati. Mereka sebenarnya perlu menggunakan wang yang ada untuk mencari filem yang benar-benar bermutu agar ia mampu membawa satu perubahan terhadap landskap perfileman negara.

Hikayat Merong Mahawangsa yang menelan kos produksi kira-kira RM6.82 juta antara salah satu transformasi baru dunia perfileman kita hari ini.

Produser-produser yang banyak wang tak pinjam melalui bank hendaklah melihat contoh seperti syarikat produksi KRU itu dalam membawa pembaharuan terhadap filem masing-masing.

Ini tidak, ada duit sikit sudah berangan macam mat jenin untuk buat filem. Lebih mengejutkan ada sesetengah produser yang berangan.

Ketika filemnya tidak mendapat sambutan, ada hati pula ingin membuat kesinambungan filem itu.

Kita tidak mahu ketika industri perfileman semakin mendapat tempat, filem-filem bodoh masih lagi ada di panggung. Cukup-cukuplah.

NIEZAM: Nak buat filem hantu “adik-adik.”

Taktik kotor artis cari publisiti

NIEZAM tersenyum lebar membaca sebuah akhbar baru-baru ini.

Seorang artis “menyerang” kawannya yang juga seorang artis. Dia tidak menyerang pakai parang tapi dia bijak menggunakan otaknya untuk memburuk-burukkan kawannya.

Selepas Niezam membaca artikel itu, Niezam terus terfikir ini semua taktik-taktik lama si artis untuk mendapatkan publisiti murah.

Dua artis ini memang bijak bikin drama ketika nama mereka sudah tak popular.

Macam inilah caranya kalau hendak mendapatkan publisiti murah dengan menjaja kisah keburukan rakan sendiri yang tentunya akan dibaca oleh orang ramai.

Sebenarnya dua artis ini pernah berkelahi tentang isu yang hampir serupa sebelum ini iaitu meminjam barang tetapi tak pulangkan semula.

Kisah itu mendapat liputan meluas apabila kedua-dua artis tersebut sering berbalas memberi kenyataan.

Selang beberapa bulan kedua-duanya dilihat mesra dan muncul dalam satu majlis bersama. Drama apakah itu?

Alasan yang diberi, mereka tak mahu gaduh-gaduh lagi. Lebih elok buat baik daripada berperang sesama sendiri.

Tapi yang Niezam naik meluat selepas hampir setahun kisah itu lenyap, tiba-tiba muncul kisah baru kes tuntut hutang pula.

Apakah jenis artis ini? Tak habis-habis mahu meraih publisiti murah? Niezam nak tanya kenapa bodoh sangat artis A itu kalau dia tahu kawannya bukan orang yang boleh dipercayai sampaikan meminjam barang pun tak mahu pulangkan semula?

Kejadian itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada artis A agar tidak memberikan wang sekiranya rakannya itu dari keturunan yang tak tahu malu.

Sayangnya artis yang sama membuat kenyataan serupa kononnya dianiaya oleh rakan sendiri.

Niezam merasakan apa yang berlaku itu hanyalah lakonan untuk mereka mendapat tempat selepas sekian lama muka tak keluar akhbar.

Ini adalah taktik terbaru yang dilakukan segelintir artis kita yang mahu mendapat perhatian. Mudah-mudahan tak ada yang terperangkap dengan taktik kotor ini. NIEZAM: Kasihan Norlia Ghani dituduh “berlakon” kononnya kena ragut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain