suria

Polis Tahan Lelaki Bersama Senjata Api Dan Peluru Hidup

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan kerana memiliki senjata api bersama 50 butir peluru hidup dalam satu kejadian di Persiaran Surian, Damansara, di sini semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pasukan polis peronda yang menerima maklumat orang ramai mengenai satu kekecohan di kawasan tersebut.

"Anggota kami yang menaiki dua buah kenderaan MPV polis berkejar ke tempat kejadian untuk meleraikan kekecohan itu dan mereka turut menahan seorang lelaki yang menimbulkan kekecohan kerana bergaduh dengan beberapa individu lain.

"Hasil pemeriksaan dalam beg sandang lelaki itu, polis telah menemui satu kelopak peluru yang mengandungi tujuh butir peluru jenis 7.65mm di dalamnya," katanya kepada pemberita, di sini hari.

Beliau berkata, soal siasat terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan sejumlah 43 butir peluru dari jenis yang sama di rumahnya di sebuah kondominium berhampiran kawasan terbabit.

"Susulan itu, kami turut menemui sepucuk pistol jenis semi-automatik yang disembunyikan suspek dalam bonet keretanya," kata Tun Hissan yang sebelum itu menyampaikan sijil penghargaan kepada pasukan anggota MPV itu.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan polis kini menyiasat dari mana lelaki itu memperolehi senjata api dan peluru terbabit.

Lelaki itu kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes samun yang membabitkan dua lelaki Indonesia di Taman Mega Jaya, Ampang, semalam, beliau berkata kes itu masih dalam siasatan.

"Polis akan mengambil keterangan daripada suspek selepas keadaannya pulih untuk melengkapkan siasatan," kata Tun Hissan.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, seorang daripada lelaki tersebut maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan kereta wanita yang dilapor menjadi mangsa ragut kedua-dua mereka.

Rakannya yang berusia 28 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain