suria

PAS Perlu Minta Maaf Kafirkan UMNO

KOTA BARU: PAS perlu meminta maaf kepada Umno terlebih dahulu sebelum mendakwa parti itu sebenarnya turut memperjuangkan nasib orang Melayu, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Mohd Fatmi berkata kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu turut memperjuangkan orang Melayu sudah agak terlambat setelah begitu lama isu mengkafirkan penyokong Umno yang sebahagian besarnya adalah bangsa Melayu masih tidak ditangani oleh parti itu.

"Sudah lama bangsa Melayu yang berada dalam Umno terguris hati dan perkara itu masih berlarutan sehingga ada yang masih melakukan sembahyang dua imam.

"Kenyataan Nik Aziz mengenai Melayu sudah tidak membawa apa-apa makna. Minta maaf dulu kepada Umno mengenai isu kafir mengkafir ini dan biar bangsa Melayu menentukan sikapnya selepas itu," katanya kepada pemberita selepas selepas menyampaikan bantuan yuran murid pra-sekolah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Kementerian Pelajaran di sini, Isnin.

Seramai 641 pelajar daripada 55 tadika swasta dari Parlimen Kota Baharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa menerima bantuan sebanyak RM450 setiap seorang. Turut hadir Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Menteri Besar Kelantan ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada Sabtu lepas, berkata perjuangan terhadap masyarakat orang Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai peribumi di negara ini.

Kenyataan Nik Aziz itu dibidas beberapa pemimpin Umno semalam yang menyifatkan ia hanya untuk memancing undi selepas sokongan bangsa Melayu terhadap PAS semakin berkurangan.

Mohd Fatmi yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baharu berkata Nik Aziz sebenarnya tidak mempunyai pendirian jelas dalam sesuatu perkara, dan suka berdolak dalik selepas membuat kenyataan dan kemudian menyalahkan pihak lain.

Sementara itu, Mohd Fatmi berkata kerajaan Pusat tahun ini memperuntukkan RM1 juta sebagai galakan lebih banyak individu di negeri ini membuka tadika swasta.

"Kita sasarkan sebanyak 100 tadika baru dibuka pada tahun ini di Kelantan, dan sehingga kini Jabatan Pelajaran baru menerima 25 permohonan dengan setiap mereka boleh menerima geran bantuan sebanyak RM10,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain