suria

Penyelia Spa Rasuah Pegawai JAIS Dihukum Penjara, Denda

SHAH ALAM: Cubaan seorang penyelia spa untuk ‘menyelamatkan’ seorang pekerjanya yang dicekup oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana berkhalwat membawa pada apabila dia terlibat dalam kesalahan rasuah.

Ng Heng Goon, 27, yang berasal daripada Pulau Pinang diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama sehari dan denda RM8,000 atau enam bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda itu.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, M. Bakri Abd Majid pada Isnin selepas menerima pengakuan salah tertuduh terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan kepadanya.

Ng didakwa memberi suapan itu dalam bentuk wang tunai sebanyak RM3,000 kepada Sharom Maarof, pegawai hal Ehwal Islam yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan JAIS, di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Menara Selatan, Seksyen 5, di sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk membebaskan pekerjanya, Juliana Mazlan yang ditahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 11.40 malam, 15 Mei 2010. Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan asal, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh menerusi peguamnya, Adzly Abd Manas sebelum itu merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang rendah terhadapnya dengan mempertimbangkan pengakuan salah yang dibuatnya.

“Tertuduh ingin melangsungkan perkahwinan dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM semasa siasatan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Ng Siew Wee pula memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain