suria

Pendengaran Semakan Tertuduh PKFZ Pada 17 Mac

SHAH ALAM: Permohonan semakan yang difailkan oleh tertuduh pertama dalam kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Law Jenn Dong terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Klang, dekat sini menolak permohonannya untuk menyingkirkan firma peguam daripada menjadi pemerhati bagi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) akan didengar pada 17 Mac depan.

Tarikh itu ditetapkan semasa kes tersebut disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Maizatul Munirah Abdul Rahman pada Isnin.

Permohonan itu dijadualkan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Siti Mariah Ahmad.

Law, 52, yang juga merupakan bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) memfailkan permohonan untuk menyingkirkan firma guaman Skrine & Co pada 22 November 2010 atas alasan dua peguam kanan daripada firma tersebut telah dilantik untuk menganggotai pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat skandal PKFZ itu.

Bagaimanapun, pada 3 Disember 2010, Hakim Asmadi Hussain menolak permohonan Law kerana berpendapat peranan yang akan dimainkan oleh firma guaman itu pada perbicaraan kes nanti adalah pasif.

Sementara itu, Asmadi pada Isnin juga menetapkan supaya permohonan seorang lagi tertuduh dalam kes it, Stephen Abok untuk menggugurkan semua 26 pertuduhan pilihan yang dkenakan terhadapnya didengar pada 10 Mac depan.

Stephen, 52, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi KDSB diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik pada permohonan tersebut.

Pada prosiding sama, Hisyam turut memaklumkan bahawa beliau telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap keputusan Asmadi yang menolak permohonan anak guamnya agar sepina dikeluarkan terhadap seorang wartawan dari sebuah akhbar harian kewangan.

Asmadi membuat keputusan itu pada 11 Februari lalu selepas berpendapat jika sekalipun wartawan The Edge Financial Daily, Chua Sue Ann disepina untuk hadir ke mahkamah, keterangannya tidak akan relevan untuk membantu mahkamah dalam memutuskan permohonan yang difailkan oleh Stephen.

Stephen menggunakan artikel yang disiarkan di dalam The Edge Financial Daily yang bertajuk 'OKS Trustee Unaware Of Cheating In PKFZ Case' pada 10 November 2010 dalam usahanya untuk menggugurkan semua 26 pertuduhan tersebut.

Hadir bagi pihak pendakwaan dalam kes itu ialah Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad.

Stephen dan Law serta arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect mengaku tidak bersalah pada 8 November tahun lepas atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB bagi dua projek di PKFZ.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 sehingga 20 Jun 2008.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta.

Selain itu, Stephen dan Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees di antara 31 Julai 2007 dan 8 Oktober 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untuk mempercayai bahawa dua projek sama telah dilaksanakan.

Justeru, tindakan mereka telah mendorong OSK Trustees membayar RM5.42 juta kepada KDSB.

Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Stephen dan Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Tan dan Law menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB melibatkan dua projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain