suria

Majistret Tetap 30 Mac Sebut Semula Kes Seludup Rokok RM900,000

JITRA: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, menetapkan 30 Mac sebagai tarikh untuk sebutan semula kes penyeludupan rokok bernilai RM900,000 membabitkan dua warga Thailand hujung tahun lalu.

Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan keputusan ujian kimia untuk kes terbabit masih belum diperoleh.

Ma-Ae Itae, 32, dari Sadao dan Wisut Mekarun, 56, dari Bangkok dituduh secara berasingan menyeludup 50,500 karton rokok pelbagai jenis di kilometer 1.6 Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 2.10 petang, 24 Disember tahun lalu.

Ahzal Fariz turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Wisut kerana gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(a)(e) Akta Kastam yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali nilai dagangan atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penguasa Kastam, S. Morgan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S.M Victor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain