suria

Kenaikan Harga Getah Tingkatkan Pendapatan 48,000 Pekebun Kelantan

BACHOK: Kenaikan melambung harga getah sehingga melebihi RM9 sekilogram di pasaran tempatan sekarang memberi pendapatan lumayan kepada lebih 48,000 isi rumah pekebun kecil getah di Kelantan.

Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kelantan Zahari Mat Amin berkata ada di antara pekebun kecil berpendapatan antara RM1,300 hingga RM3,500 sebulan bagi mereka yang memiliki satu hektar kebun.

"Lonjakan harga itu tidak pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menyebabkan mereka terkeluar daripada garis miskin dan miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan masyarakat pekebun kecil di sini, Isnin.

Beliau berkata pendapatan mereka sekarang lebih baik daripada sebelum ini iaitu hanya RM300 hingga RM400 sebulan sehingga menyukarkan mereka untuk berbelanja termasuk menyara anak-anak ke sekolah.

Bagaimanapun, Zahari berkata berdasarkan harga sekarang yang sangat lumayan itu, terdapat di kalangan pekebun kecil yang cuba mengambil kesempatan dengan menoreh dua kali sehari iaitu pagi dan petang.

Cara itu, katanya boleh memendekkan jangka hayat pokok getah daripada 15 tahun kepada 12 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain